V.Sivakumar,
Tiga tahun yang lalu iaitu pada 3 Mac 2009 satu peristiwa bersejarah
telah berlaku di negeri Perak. Peristiwa itu tidak boleh dilupakan oleh
seluruh rakyat Malaysia. Pertama kali dalam sejarah negara ini,
persidangan Dewan Negeri Perak telah berlangsung di bawah ‘Pokok
Hujan-hujan’.
Walaupun
persidangan itu nampak ganjil tetapi ia telah membawa makna yang besar
dalam sejarah politik tanahair kita. Pesidangan Bawah Pokok ini bukanlah
bertentangan dengan undang-undang atau perlembagaan negara. Ramai
diantara pakar-pakar perlembagaan bersetuju bahawa Pesidangan Bawah
Pokok itu adalah sah di sisi undang-undang.
Untuk satu
persidangan Dewan Negeri yang sah hanya 2 syarat perlu dipenuhi iaitu
kehadiran Speaker dan korum yang mencukupi. Pada 3 Mac 2009, persidangan
yang berlaku di bawah pokok itu memenuhi kedua-dua syarat yang
diperlukan oleh undang-undang.
Oleh yang demikian, Persidangan
Bawah Pokok itu adalah sah. Tidak ada apa-apa syarat mandatori untuk
memastikan persidangan harus diadakan di tempat tertutup seperti dalam
dewan. Bumbung dan dinding bukanlah syarat yang perlu ada untuk
mengadakan satu persidangan Dewan Negeri yang sah.
Saya telah
mengeluarkan notis persidangan tergempar kepada semua ahli-ahli Dewan
Negeri Perak. Tetapi Ahli-ahli Dewan Negeri Barisan Nasional telah
mengambil keputusan supaya tidak menghadiri persidangan tersebut.
Mereka
menuduh bahawa saya telah memanggil persidangan haram. Alasan mereka
itu adalah untuk mengelakkan diri daripada menghadiri persidangan itu.
Mereka risau, Barisan Nasional tidak dapat membuktikan undi majoriti di
dalam Dewan Negeri Perak. Jika mereka gagal berbuat demikian, Pakatan
Rakyat akan kembali berkuasa di Perak.
Barisan Nasional mendakwa bahawa Speaker tidak ada kuasa untuk memanggil Dewan bersidang.
Ini
adalah tidak benar kerana dalam Perintah-perintah Tetap Dewan
Perhimpunan Negeri Perak kuasa itu diberikan kepada Speaker. Speaker
mempunyai kuasa untuk menentukan tarikh dan masa persidangan. Barisan
Nasional cuba meniadakan kuasa itu untuk kepentingan politik mereka.
Tetapi,
saya tidak boleh tunduk kepada kehendak golongan yang mengilakan kuasa
ini. Saya telah diberi mandat oleh Dewan Negeri Perak untuk menjalankan
tanggungjawab saya berasaskan prinsip-prinsip demokrasi. Oleh itu, saya
tetap mahu meneruskan persidangan tergempar itu walaupun dihalang dan
diugut oleh pelbagai pihak.
Pada
pagi 3 Mac 2009, beratus-ratus anggota polis dan FRU sudah berkumpul di
Bangunan Perak Darul Ridzuan untuk menghalang saya dan wakil-wakil
rakyat yang lain bersidang seperti yang dirancang.
Kami dihalang
di pintu masuk ke Bangunan Perak Darul Ridzuan. Setiausaha Kerajaan
Negeri telah memberi arahan kepada pihak polis untuk menghalang
persidangan itu. Pihak eksekutif telah menafikan kuasa Speaker dan
mencemar amalan demokrasi berparlimen di negeri Perak.
Selepas
bertikam lidah dan sedikit pergelutan dengan pihak berkuasa dan polis,
wakil-wakil rakyat terpaksa meninggalkan tempat itu. Pihak polis sudah
'bersedia' untuk menggunakan kekerasan terhadap orang ramai yang
berkumpul di situ. Ramai juga 'samseng-samseng' telah dibawa dari luar
untuk menghalang wakil-wakil rakyat daripada bersidang pada hari itu.
Kemudian,
Ahli-ahli Dewan Negeri Pakatan Rakyat telah berkumpul semula di bawah
sebuah pokok kira-kira 150 meter daripada Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Pada masa itu, saya telah mengambil keputusan untuk meneruskan
persidangan Dewan Negeri Perak di bawah pokok itu berasakan ‘doktrin
keperluan’. Keputusan itu dibuat dalam keadaan terdesak kerana saya
tidak boleh membatalkan persidangan yang telah diberi notis kepada semua
wakil-wakil rakyat.
Dalam persidangan yang aneh itu, 3 usul
telah diluluskan. Persidangan yang bersejarah itu berlangsung selama
lebih kurang 30 minit. Pesidangan itu telah disaksikan oleh lebih
daripada 2000 orang. Selepas itu semua wakil rakyat dan orang awam telah
bersurai dari kawasan tersebut.
Sehingga hari ini persidangan
bawah pokok menjadi satu topik perbualan politik yang hangat. Saya juga
sedang menulis sebuah buku yang menceritakan krisis politik Perak yang
dilihat dari kaca mata seorang Speaker. Tema buku itu juga adalah
mengenai Persidangan Bawah Pokok yang membawa seribu satu makna dalam
hidup saya.
Saya masih teringat setiap detik Persidangan Bawah
Pokok yang berlaku tiga tahun yang lalu. Setiap kali saya imbas kembali
peristiwa itu, saya mendapat semangat perjuangan yang lebih kental untuk
menuntut keadilan.
*YB V.Sivakumar, ADUN Tronoh dan Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak